3 November 2016 - 20:51
12 Terbunuh Manakala 200 Lagi Cedera Akibat Serangan Pengganas Di Aleppo.

Menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, sekurang-kurangnya 12 orang awam terkorban dan lebih daripada 200 lagi yang lain cedera dalam siri serangan yang dilancarkan oleh kumpulan militan yang ditaja oleh kuasa asing ke atas beberapa kawasan di bandar Aleppo, Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA) - Menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, sekurang-kurangnya 12 orang awam terkorban dan lebih daripada 200 lagi yang lain cedera dalam siri serangan yang dilancarkan oleh kumpulan militan yang ditaja oleh kuasa asing ke atas beberapa kawasan di bandar Aleppo, Syria.

Agensi itu juga melaporkan bahawa para pengganas melancarkan serangan tersebut dari kawasan timur bandar Aleppo pada hari Khamis.

Menurut laporan itu juga, Mohammd Joulaq yang merupakan seorang jurugambar daripada agensi berita bahasa Arab al-Alam adalah antara mereka yang cedera di dalam serangan tersebut.

Laporan itu juga menambah bahawa serangan roket dan tembakan peluru telah disasarkan oleh para militan ke kawasan kejiranan Halab al-Jadideh, al-Mogambo, al-Masharqeh dan al-Furqan. Dua serangan bom kereta juga dilaporkan berlaku.

Menurut sebuah sumber polis yang tidak dinamakan, seorang kanak-kanak perempuan adalah antara mereka yang terbunuh dalam siri serangan tersebut sambil menambah bahawa serangan itu juga menyebabkan kerosakan teruk ke atas harta benda awam dan persendirian.

Menurut sumber kakitangan perubatan yang tidak dinamakan di Hospital Universiti al-Jamiaa, pusat perubatan tersebut menerima seorang mangsa yang mengalami masalah kesesakan nafas akibat serangan pengganas ke atas daerah Minian di mana pengganas dilaporkan menggunakan senjata kimia.

Aleppo yang merupakan bandar kedua terbesar di Syria, masih terbahagi kepada dua kawasan. Sebahagian dikuasai oleh tentera kerajaan iaitu bahagian barat bandar tersebut. Bahagian timur bandar itu pula dikuasai oleh para pengganas.